Pages

Tuesday, February 11, 2014

Skuad T-Team mengangkat sumpah berhubung kenyataan kejadian yang berlaku di dalam terowong Stadium Larkin

       
              Pemain T-Team bersumpah

Sebagaimana dijanjikan sebelum ini, pegawai dan pemain pasukan berstatus kelab T-Team telah mengangkat sumpah berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu.

Pada majlis yang berlangsung di TH Hotel & Convention Centre itu, penolong jurulatih pasukan T-Team, Azlan Johar mengetuai upacara bersumpah di hadapan al-Quran yang disaksikan sendiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Belia dan Sukan, Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Turut mengangkat sumpah berhubung insiden itu, pemain tengah, Khairan Ezuan Razali bagi membuktikan kebenaran mengenai kejadian tersebut.

Ahmad dalam ucapannya berkata, majlis bersumpah yang diadakan itu bertujuan membuktikan insiden itu benar-benar berlaku, sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pegawai dan pemain T-Team berbohong berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau telah merujuk perkara itu (sumpah) kepada Mufti Terengganu terlebih dahulu dan meminta pegawai serta pemain yang menyaksikan insiden itu sahaja berbuat demikian.

“Saya begitu terharu dengan kesanggupan Azlan dan Khairan mengangkat sumpah pada hari ini (malam tadi). Kita lakukan semua ini hanya satu iaitu untuk membuktikan kepada semua bahawa pemain T-Team bercakap benar.

“Jika mereka (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting kita telah melakukan perkara yang sepatutnya kami buat,” katanya.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira jam 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim, Muhd Ifran Abdul Ghani langsung tidak kelihatan pada majlis itu.

Sementara itu, Ahmad turut mencabar Muhd Irfan supaya tampil untuk bersumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sanggup beli tiket `flight’ untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah berhubung kejadian itu,” katanya.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team da dalam Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului T-Team 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu untuk langkah keselamatan apabila penyerang import T-Team, Rodrigues didakwa ditumbuk manakala jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo yang turut mendakwa dikasari didalam terowong ketika ke bilik persalinan.








C/P : SHO

0 ulasan:

Post a Comment