Pages

Wednesday, February 12, 2014

Lelaki 'gila', miliki perangai pelik dengan memukul wanita-wanita hamil


Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan, luka di pinggang selepas dipukul dengan objek tajam dalam kejadian di Kampung Jal, Pangkal Kalong Ketereh, Kota Bharu, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Zura Muda, 26, yang menunggang motosikal berseorangan singgah di gerai jualan kuih-muih di Kampung Seberang untuk membeli sarapan anak sulungnya, Mohamad Razman Mat Razif, 7, sebelum ke klinik desa di kampung berkenaan untuk pemeriksaan berkala bagi wanita hamil.

Zura yang mengandungkan anak ketiga berkata, ketika membeli kuih di kawasan itu, dia menyedari diperhatikan oleh lelaki dikenalinya dan pernah mengganggunya sebelum ini ketika dia sedang sarat mengandung anak kedua dua tahun lalu, namun tidak mengendahkan lelaki terbabit.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke rumah untuk menghantar makanan kepada anak sulungnya itu, dia melihat kelibat seorang lelaki yang dikenalinya melalui cermin sisi kanan motosikalnya, yang menunggang motosikal berseorangan mengekori dari belakang.

“Mulanya saya tidak endah dengan kehadiran lelaki terbabit, namun sampai di kawasan tali air ketika saya memperlahankan motosikal, lelaki terbabit terus memecut motosikalnya menghampiri saya dan memukul belakang saya dengan menggunakan objek tajam.

“Saya terus menjerit kesakitan dan tidak sempat menoleh ke belakang. Lelaki terbabit yang memakai topi keledar terus memecut motosikalnya dengan laju dan melarikan diri melalui jalan kampung,” katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Zura mengesyaki lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu adalah orang sama mengganggunya ketika dia hamil anak kedua, dengan bertindak menghalang jalannya dan cuba menciumnya namun dia dapat melarikan diri.

“Saya tidak pasti mengapa lelaki itu yang dipercayai telah  berkahwin dan mempunyai dua anak itu suka mengganggu wanita mengandung kerana sebelum ini menurut orang kampung dia juga pernah mengganggu wanita mengandung dengan memukul perut mangsa. Mujur mangsa selamat dan anak dalam kandungan tidak apa-apa.

“Oleh sebab tidak tahan dengan perangainya, saya membuat laporan polis kerana sudah dua kali saya diganggu lelaki yang sama dan akibat dipukul dengan objek tajam, pinggang saya kini masih sakit dan tidak boleh melakukan aktiviti harian dengan sempurna,” katanya.

Zura juga mengakui turut trauma dan tidak berani keluar rumah akibat kejadian tersebut.

"Lagipun, suami, Mat Razif Abdul Rahman, 37, bekerja sebagai pemandu mesin menuai padi di Terengganu dan saya pula hanya tinggal bersama ibu, Salaniah Mat Daud, 54, yang turut menjaga anak sulung, Mohd Razman dan anak kedua, Nursara Alesya, 2.

"Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa sebelum ini tidak membuat laporan polis dan hanya mendiamkan diri tetapi disebabkan tidak tahan diganggu, mangsa mahu ia disiasat.

“Suspek kini ditahan direman selama empat hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan mangsa," katanya.






0 ulasan:

Post a Comment