Pages

Friday, February 14, 2014

Harga getah merudum, penoreh terhimpit


               

Penganalisis ekonomi berpandangan bahawa penurunan harga getah sememangnya tidak boleh dielakkan kerana ia berasaskan kepada pasaran terbuka, namun kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk mengelak rakyat (penoreh getah) daripada terus tertekan dengan kesempitan hidup yang kian menghimpit kini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, untuk mengelak penoreh getah daripada terus terhimpit dek kerana penurunan harga getah tersebut, kerajaan perlu memikirkan satu mekanisme khusus untuk membantu mereka.

"Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu mereka pada saya untuk tempoh ini... mungkin kerajaan boleh membantu dengan memberi bantuan khusus kepada mereka.

"Mungkin model BR1M boleh dijadikan contoh," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.

Nasib penoreh getah kini boleh dikatakan seperti pada era 80-an kerana walaupun harga getah sekarang sekitar RM2.60 sekilogram (kg) tetapi kos kehidupan yang tinggi nyata membebankan mereka.







CP: Media












Wednesday, February 12, 2014

Enggan gugurkan anak bermuka dua


              Foto
                                                                   RENEE (kiri) dan Howie.
Sydney: Sepasang suami isteri berkeras enggan menggugurkan kandungan mereka yang disahkan mempunyai dua muka dan dua otak.
Renee Young dan Simon Howie dari Tregear, di sini, dinasihatkan doktor supaya menggugurkan kandungan itu yang pada mulanya disangka kembar.
“Kami terkejut apabila imbasan ultrabunyi menunjukkan anak dikandung sebenarnya seorang saja, bukannya kembar,” kata Renee.

Imbasan tiga dimensi menunjukkan bayi itu mempunyai sepasang kaki dan tangan selain satu badan dan semua organ dalaman sempurna termasuk jantung.
Doktor sebelum ini menasihatkan kandungan itu digugurkan bagi mengelak anak berkenaan menghadapi kesukaran kelak kerana dianggap pelik.
Sebaliknya pasangan itu tegas mahu membesarkan anak mereka dengan penuh kasih sayang dan dikelilingi orang yang menyayanginya.

                Foto
Imbasan jelas menunjukkan dua muka bayi berkenaan masing-masing dengan mata, hidung dan mulut yang lengkap.

“Kandungan ini kini berusia 19 minggu dan sihat dengan degupan jantung serta otak yang kuat,” kata Renee dalam rancangan A Current Affair - In Both Brains.

Keadaan itu dikenali sebagai kraniofasial hiperhidrosis adalah sejenis kes kembar siam ekstrem dan terlalu jarang dilihat, malah hanya 35 kes direkodkan setakat ini.

Tidak satu pun mampu hidup melepasi usia kanak-kanak.

Kemungkinan itu tidak menggugat semangat pasangan terbabit, malah mereka berazam membesarkan bayi itu bersama tujuh anak mereka.

“Keluarga kami sangat rapat dan kami percaya mampu melindungi bayi ini tidak kira apa pun kecacatannya.

“Pada kami menggugurkannya perbuatan tidak bermoral.

“Anak ini tiada bezanya dengan kanak-kanak yang mempunyai autisme atau sindrom Down.

“Bayi ini sihat dan membesar elok dalam kandungan. Tidak wajar ia digugurkan,” kata Howie.

Sementara itu, pakar obstetrik Greg Kesby berkata, ini kali pertama dia melihat kes seumpama itu.- Agensi













16 penumpang jip maut


           16 penumpang jip maut

KOLKATA - INDIA. Kesemua 16 penumpang jip maut selepas kenderaan dinaiki berlanggar dengan sebuah lori yang dipercayai dipandu laju di lebuh raya di timur India, semalam.

Pegawai polis di ibu negeri Bengal Barat, Kalyan Mukhopadhyay berkata kepada Al Jazeera, ketika kejadian mangsa dikatakan menaiki dua jip berbeza dan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Sahapur.

"13 orang meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga yang lain meninggal dunia di hospital,"katanya.

India merupakan negara yang terkenal dengan struktur jalan raya teruk sekali gus menjadi antara faktor utama menyumbang peningkatan kadar kemalangan di negara tersebut.







Lelaki 'gila', miliki perangai pelik dengan memukul wanita-wanita hamil


Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan, luka di pinggang selepas dipukul dengan objek tajam dalam kejadian di Kampung Jal, Pangkal Kalong Ketereh, Kota Bharu, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Zura Muda, 26, yang menunggang motosikal berseorangan singgah di gerai jualan kuih-muih di Kampung Seberang untuk membeli sarapan anak sulungnya, Mohamad Razman Mat Razif, 7, sebelum ke klinik desa di kampung berkenaan untuk pemeriksaan berkala bagi wanita hamil.

Zura yang mengandungkan anak ketiga berkata, ketika membeli kuih di kawasan itu, dia menyedari diperhatikan oleh lelaki dikenalinya dan pernah mengganggunya sebelum ini ketika dia sedang sarat mengandung anak kedua dua tahun lalu, namun tidak mengendahkan lelaki terbabit.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke rumah untuk menghantar makanan kepada anak sulungnya itu, dia melihat kelibat seorang lelaki yang dikenalinya melalui cermin sisi kanan motosikalnya, yang menunggang motosikal berseorangan mengekori dari belakang.

“Mulanya saya tidak endah dengan kehadiran lelaki terbabit, namun sampai di kawasan tali air ketika saya memperlahankan motosikal, lelaki terbabit terus memecut motosikalnya menghampiri saya dan memukul belakang saya dengan menggunakan objek tajam.

“Saya terus menjerit kesakitan dan tidak sempat menoleh ke belakang. Lelaki terbabit yang memakai topi keledar terus memecut motosikalnya dengan laju dan melarikan diri melalui jalan kampung,” katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Zura mengesyaki lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu adalah orang sama mengganggunya ketika dia hamil anak kedua, dengan bertindak menghalang jalannya dan cuba menciumnya namun dia dapat melarikan diri.

“Saya tidak pasti mengapa lelaki itu yang dipercayai telah  berkahwin dan mempunyai dua anak itu suka mengganggu wanita mengandung kerana sebelum ini menurut orang kampung dia juga pernah mengganggu wanita mengandung dengan memukul perut mangsa. Mujur mangsa selamat dan anak dalam kandungan tidak apa-apa.

“Oleh sebab tidak tahan dengan perangainya, saya membuat laporan polis kerana sudah dua kali saya diganggu lelaki yang sama dan akibat dipukul dengan objek tajam, pinggang saya kini masih sakit dan tidak boleh melakukan aktiviti harian dengan sempurna,” katanya.

Zura juga mengakui turut trauma dan tidak berani keluar rumah akibat kejadian tersebut.

"Lagipun, suami, Mat Razif Abdul Rahman, 37, bekerja sebagai pemandu mesin menuai padi di Terengganu dan saya pula hanya tinggal bersama ibu, Salaniah Mat Daud, 54, yang turut menjaga anak sulung, Mohd Razman dan anak kedua, Nursara Alesya, 2.

"Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa sebelum ini tidak membuat laporan polis dan hanya mendiamkan diri tetapi disebabkan tidak tahan diganggu, mangsa mahu ia disiasat.

“Suspek kini ditahan direman selama empat hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan mangsa," katanya.






Balasan amal ilmu hitam


             Foto
    Haslinda (kiri),  Azman (kanan) memegang jenglot yang sering digunakan pengamal ilmu hitam

Gara-gara ingin hidup mewah, seorang wanita tergamak menggunakan ilmu hitam dan hidup bergelumang dosa. 

Dikenali dengan nama Haslinda, berusia 31 tahun yang pernah satu ketika dulu ibarat seorang primadona kerana berbekalkan batu mani gajah yang dijadikan tangkal, lebih 50 lelaki kaya dikikisnya sehinggakan memiliki wang simpanan lebih RM3 juta cuma dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, kuasa amalan syirik itu hanya sementara kerana dia kini menderita pelbagai penyakit selepas isteri seorang lelaki bergelar Datuk yang menjadi mangsanya membalas dendam dengan turut mengenakan ilmu hitam ke atasnya.

“Ada rakan memberitahu mengenai batu mani gajah dimiliki seorang bomoh tinggal di sempadan Siam (Thailand) yang dikatakan mampu membuatkan sesiapa saja tunduk dengan permintaan dan arahan kita.
“Saya sanggup menjual diri bagi memperoleh RM8,000 sebagai bayaran untuk memiliki batu itu dan saya juga memandu beratus-ratus kilometer bersendirian untuk ke rumah bomoh itu dua tahun lalu,” katanya.






PBNJ tak akan ikut jejak T-Team 'bersumpah'

                   

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjelaskan tidak akan mengikuti jejak langkah T-Team iaitu mengangkat sumpah Al-Quran seperti diminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Atas nasihat dan pandangan yang diterima oleh pihak persatuan dan pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT), tindakan bersumpah Al-Quran bukanlah jalan terbaik bagi menyelesaikan isu.

PBNJ sedia maklum laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh pasukan polis dari Bukit Aman.

Dalam satu kenyataan media, persatuan mengulangi komitmen bahawa akan memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan dijalankan.

“Setakat ini semua pemain dan pegawai dalam pasukan telah memberi kenyataan masing-masing kepada pasukan polis yang terlibat dalam siasatan.

“PBNJ akan memastikan semua pemain dan pegawai bersedia untuk memberikan keterangan lanjut sekiranya diperlukan oleh polis,” katanya, di sini semalam.

PBNJ turut sedia maklum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga menyiasat isu berkenaan dan jika laporan adalah benar, pihak persatuan bersedia tampil memberikan segala kerjasama diperlukan dalam siasatan dilakukan.

“Pihak persatuan menegaskan akan mematuhi semua keperluan diperuntukkan dalam undang-undang dan langkah ditetapkan oleh polis serta FAM yang diterima dalam mana-mana mahkamah perundangan.

“PBNJ meletakkan kepercayaan ke atas siasatan yang dilakukan malah yakin keputusan siasatan akan membebaskan persatuan dan pegawai-pegawai dari apa-apa tuntutan sama ada bersifat jenayah
atau tiada semangat kesukanan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Said mahu kesemua pemain dan pihak pengurusan T-Team mengangkat sumpah susulan kecewa dengan keputusan FAM memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT.

Tindakan itu berpunca daripada insiden dalam pusingan kedua Piala FA membabitkan kedua-dua pasukan sehingga perlawanan berkenaan ditangguhkan apabila T-Team enggan meneruskan baki 45 minit separuh masa kedua.






c/p: SHO

Tuesday, February 11, 2014

Gempa sederhana berlaku di Wilayah Timor



KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter berlaku di Wilayah Timor pada pukul 2.06 pagi tadi, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gegaran ialah 263 kilometer timur laut Kupang, Indonesia dan 1,526 kilometer tenggara Sarikei, Sarawak.

Gegaran tidak mendatangkan ancaman tsunami. - Bernama







Skuad T-Team mengangkat sumpah berhubung kenyataan kejadian yang berlaku di dalam terowong Stadium Larkin

       
              Pemain T-Team bersumpah

Sebagaimana dijanjikan sebelum ini, pegawai dan pemain pasukan berstatus kelab T-Team telah mengangkat sumpah berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu.

Pada majlis yang berlangsung di TH Hotel & Convention Centre itu, penolong jurulatih pasukan T-Team, Azlan Johar mengetuai upacara bersumpah di hadapan al-Quran yang disaksikan sendiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Belia dan Sukan, Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Turut mengangkat sumpah berhubung insiden itu, pemain tengah, Khairan Ezuan Razali bagi membuktikan kebenaran mengenai kejadian tersebut.

Ahmad dalam ucapannya berkata, majlis bersumpah yang diadakan itu bertujuan membuktikan insiden itu benar-benar berlaku, sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pegawai dan pemain T-Team berbohong berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau telah merujuk perkara itu (sumpah) kepada Mufti Terengganu terlebih dahulu dan meminta pegawai serta pemain yang menyaksikan insiden itu sahaja berbuat demikian.

“Saya begitu terharu dengan kesanggupan Azlan dan Khairan mengangkat sumpah pada hari ini (malam tadi). Kita lakukan semua ini hanya satu iaitu untuk membuktikan kepada semua bahawa pemain T-Team bercakap benar.

“Jika mereka (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting kita telah melakukan perkara yang sepatutnya kami buat,” katanya.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira jam 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim, Muhd Ifran Abdul Ghani langsung tidak kelihatan pada majlis itu.

Sementara itu, Ahmad turut mencabar Muhd Irfan supaya tampil untuk bersumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sanggup beli tiket `flight’ untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah berhubung kejadian itu,” katanya.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team da dalam Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului T-Team 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu untuk langkah keselamatan apabila penyerang import T-Team, Rodrigues didakwa ditumbuk manakala jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo yang turut mendakwa dikasari didalam terowong ketika ke bilik persalinan.








C/P : SHO

Misteri Pokok Petai Menangis


          Misteri pokok petai 'menangis'

Sebatang pokok petai yang didakwa mengeluarkan bunyi seakan-akan tangisan kanak-kanak menggemparkan lebih 300 penduduk di Kampung Binjai, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan.


Pokok setinggi 10 meter itu yang terletak di laluan utama kampung berkenaan turut didakwa mengeluarkan air seolah-olah air mata.

Seorang penduduk kampung dikenali sebagai Abdul Razak, 57, berkata, kejadian itu mula berlaku pada malam Jumaat lalu dan berlarutan sehingga semalam.

Abdul Manaf berkata, dia menyedari kejadian pelik ini pada jam 3 pagi dan mulanya menyangka ia adalah tangisan anak kecil jiran sebelah rumah.

Selepas bertanyakan perkara tersebut kepada jiran, dia diberitahu tiada tangisan yang berlaku pada malam itu.

Menurutnya, bagaimana pun tangisan itu berulang kembali pada malam berikutnya.


Abdul Razak berkata, disebabkan perasaan ingin tahu yang menebal dia mengambil keputusan untuk mengesan bunyi tangisan itu dan terkejut apabila mendapati ia datang dari sebatang pokok petai yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

Kejadian pelik itu turut didengari oleh jiran yang tinggal berhampiran dengan pokok berkenaan dan selepas itu perkara tersebut menjadi bualan penduduk kampung sehingga tempat ini menjadi tumpuan orang ramai, katanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja ada beberapa penduduk telah mengambil air yang didakwa air mata pokok petai berkenaan untuk tujuan perubatan.

Katanya, air tersebut digunakan untuk merawat penyakit antaranya strok, kulit dan sebagainya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ismail Loman, 58, berkata, tangisan tersebut dapat didengari bermula jam 12 tengah malam dan ke atas.

“Kejadian itu cukup menghairankan penduduk dan ia merupakan kejadian aneh pertama di kampung berkenaan sejak menetap di kawasan itu 13 tahun lalu,” katanya.

Tinjauan media di kawasan kejadian mendapati terdapat kesan air yang didakwa air dari pokok berkenaan di atas jalan.


Misteri kejadian itu telah menarik puluhan orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan sendiri fenomena pelik tersebut secara lebih dekat.

Sementara itu Pengamal Perubatan Islam, Datuk Shamsuri Shafie berkata, kejadian tersebut berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan makhluk halus.

Beliau yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Tobibi berkata, berdasarkan kejadian yang sama pernah berlaku di sini beliau yakin kawasan tersebut pernah menjadi tempat pemujaan dan membuang barang-barang berkaitan makhluk halus.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan kejadian tersebut.

“Sepertimana dakwaan yang mengatakan pokok petai itu mengeluarkan air mata, saya berharap orang ramai tidak terpengaruh sehingga terlalu taksub dengan air tersebut.

“Ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya ketika dihubungi media.

Jika dipertimbangkan faktor tiupan angin, pokok-pokok tinggi seperti pokok petai ini biasanya akan mengeluarkan bunyi seakan-akan suara tangisan jika ditiup oleh angin.


Oleh itu, kemungkinan pokok petai berkenaan yang mengeluarkan bunyian itu ada kaitan dengan faktor alam semula jadi.

Manakala menurut sumber Jabatan Pertanian Pulau Pinang, 'air mata' yang keluar dari pokok dipercayai berlaku kerana serangga riang-riang jantan akan kencing setiap lima hingga enam saat ketika dalam proses mengawan terutama pada musim kemarau.

“Kemungkinan besar air yang turun seperti hujan renyai-renyai dari pokok petai ialah air kencing riang-riang terutama jika ia berkumpul dalam jumlah yang banyak kerana ia serangga bermusim,” katanya.

Namun begitu ada segelintir penduduk kampung kawasan kejadian tidak percaya pokok petai menangis disebabkan serangga riang-riang kerana beranggapan ‘air mata’ itu mempunyai khasiat tertentu.








C/P/E: media